Follower

Friday, November 28, 2014

Projek Aiskrim Malaysia Cuti Sekolah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Pejam celik, pejam celik harini dah hari ke 7 cuti sekolah. Setakat ni kami tak ada bercuti kemana-mana lagi. Macam ibu cerita dalam entry 5 Tips Elak Anak Sakit Supaya Perancangan Cuti Sekolah Tidak Tergendala, Ayah Yusuf hanya akan bercuti pada minggu hadapan (awal Disember). Jadi sementara tu, kami buat aktiviti harian sahaja.

Ibu dah senaraikan 5 aktiviti semasa cuti sekolah, dan setakatni kami dah buat 2 dari yang tersenarai. Pertama, kami dah pergi perpustakaan awam. InsyaAllah entry bakal menyusul.

Kedua, program masuk dapur. Hari-haripun masuk dapur sebenarnya, masuk dapur untuk makan. Cuma kalini ibu libatkan mereka sekali, jadi tak lah tau makan aje kan. Perancangan ibu, nak buat biskut atau sandwich. Tapi bahan tak cukup la pulak. Godek-godek kabinet dapur jumpa plastik aiskrim, maka terjadilah Projek Aiskrim Malaysia Cuti Sekolah.


image
Dua kanak-kanak yang teruja nak buat aiskrim sendiri. Yeay!


image
Ibu bagi mereka peluang bancuh sendiri. Kami buat aiskrim Tamar Coco campur Meal Shakes

Komfom, ini aiskrim Malaysia yang penuh khasiat. Meal Shakes mengandungi nutrisi lengkap, menyediakan 24 jenis vitamin, mineral dan zat perlu. Rasa vanilla yang sungguh yummy pulak tu..


image
Tadaaaa, dah siap. Ibu la yang bungkus, bukan mereka. 


image
Dah siap, kenalah masuk dalam peti sejuk untuk bekukan aiskrim tu. Abaikan ye, kecomotan dan kesepahan yang mungkin anda nampak. Hihi..


image
Dan inilah hasilnya.. Aiskrim Malaysia perisa Tamar Coco bervanila. 

Masa entry ni ditulis, dah habis pun aiskrim-aiskrim tu. Buat pun sikit dan tak banyak.

Alhamdulillah, terisi juga waktu lapang anak-anak semasa cuti sekolah ni. Kalau tidak haruslah asyik menghadap tv dan handphone. Handphone Yusuf dah rosak pun baru-baru ni, jadi telefon ibulah yang jadi mangsa. Handphone Maryam pun dah retak skrinnya, tapi nasib baik masih boleh berfungsi. Alahai anak-anak..

Ibu-ibu yang singgah di Jemari Asmara, sudi-sudikanlah berkongsi pula aktiviti anak-anak kalian di bahagian komen. Kita berkongsi-kongsi idea dan pandangan..

Komen anda didahului dengan ucapan terima kasih. Hingga jumpa lagi..

Wednesday, November 26, 2014

Monday, November 24, 2014

5 Tips Elak Anak Sakit Supaya Perancangan Cuti Sekolah Tidak Tergendala

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kenangan bercuti di Grand Lexis Port Dickson

Cuti sekolah sudah bermula, ada yang dah mula cuti-cuti Malaysia, ada juga yang masih menunggu tibanya tarikh yang dirancang.

Macam kami, seminggu pertama ni tidak kemana-mana sebab Ayah Yusuf masih ada tugasan yang perlu diselesaikan di pejabat. InsyaAllah tak ada aral, kami akan mula bercuti ke Terengganu minggu hadapan.

Sementara menunggu tarikh tu tiba, ibu dah rangka 5 aktiviti untuk anak-anak. Jemput baca entry 5 Aktiviti Harian Semasa Cuti Sekolah untuk kita kongsi-kongsi idea.

Anak-anak dah menghitung hari, tak sabar-sabar nak pergi bercuti. Tapi ada juga kerisauan dalam diri ibu tentang kesihatan mereka menjelang percutian kami nanti. 

Alhamdulillah, anak-anak ibu jarang demam, tapi lebih baik kita ambil langkang-langkah pencegahan awal kan. Semoga percutian yang dirancang dapat dilalui dengan gembira.

Ibu kongsikan di sini tips yang ibu perolehi hasil pembacaan dan pengalaman-pengalaman laluTips ini juga boleh diamalkan oleh ibu bapa, jangan pula nanti anak-anak sihat tapi ibu bapa yang demam. Huhu..

5 Tips Elak Anak Demam Supaya Perancangan Cuti Sekolah Tidak Tergendala

1. Pastikan anak-anak mendapat tidur yang cukup

Kanak-kanak suka bermain dan pastinya akan berasa letih dan penat. Maka waktu tidur adalah waktu terbaik untuk merehatkan tubuh badan dan mengumpulkan semula tenaga untuk aktiviti keesokan hari. 

Kanak-kanak yang sihat memerlukan 8 jam untuk tidur. Tidur yang cukup memberi kesan yang baik kepada perkembangan otak dan kesihatan tubuh kanak-kanak. Tak cukup tidur boleh menyebabkan kanak-kanak lesu dan meragam.

Yusuf dan Maryam memang tak pernah dibiasakan tidur lewat. Biasanya mereka masuk tidur jam 10.00 malam, paling lewat pun jam 11.00 malam. Alhamdulillah mereka anak-anak yang mudah bangun tidur. Cuma kena kejut la.. Hihi..

2. Minum air kosong dengan cukup

Air yang cukup mengelakkan tubuh dehidrasi, mengawal suhu tubuh, membantu membawa nutrien dan oksigen ke sel tubuh, penting untuk proses penghadaman dan membantu proses menyingkirkan toksin dari badan. 

Cuaca pada masa ini juga tidak menentu, sekejap hujan, sekajap panas dan kadang-kadang berjerebu. Anak-anak mudah terdedah dengan batuk, selsema dan demam. Maka dengan inilah, air yang cukup sangat penting untuk tubuh yang lebih sihat. 

Ibu memang jarang menyediakan hidangan minum air manis selepas makan, biasanya air kosong sahaja. Kecuali waktu minum pagi dan minum petang, ibu bancuhkan mereka air tamar coco campur meal shakes.

3. Kawal pemakanan anak-anak

Makanan yang tidak bersih dan tercemar boleh menyebabkan anak-anak sakit perut, muntah-muntah atau cirit birit. Jika keadaan ini berlaku, lebih-lebih lagi pada waktu cuti sekolah pastinya mengganggu perancangan untuk bercuti.

Oleh sebab itu, penting untuk kita mengawal pemakanan kanak-kanak. Pastikan anak-anak mengambil makanan yang bersih, berkhasiat dan seimbang, serta buah-buahan yang kaya dengan vitamin c. Vitamin c membantu meningkatkan imun tubuh kanak-kanak dan juga dewasa.

Bab sayur dan buah ibu akui, anak-anak kurang mengambilnya. Jadi ibu berikan mereka supplemen vitamin c sebagai ikhtiar untuk tingkatkan imuniti mereka.

4. Tingkatkan imuniti kanak-kanak dengan makanan tambahan


Sistem imun kanak-kanak akan menjadi lemah, jika mereka kekurangan zat makanan atau nutrien penting dalam diet pemakanan. Jadi, selain memastikan pemakanan mereka seimbang ibu bapa boleh berikhtiar dengan makanan tambahan untuk meningkatkan imuniti anak-anak.

Yusuf dan Maryam ibu berikan mereka Jus Tok Guru (gabungan makanan sunnah), Chewable Vita c, Meal Shakes (minuman multivitamin) dan Omega Guard (minyak ikan). Ibu ada kongsikan dulu tentang kelebihan Meal Shakes dan Omega Guard dalam entry Tingkatkan Fokus dan Imun Menjelang Musim Peperiksaan.

5. Susukan bayi dengan lebih kerap


Jika mempunyai anak yang masih bayi, susukan bayi dengan lebih kerap sebagai ikhtiar. Kita semua sedia maklum bahawa susu ibu mengandungi antibiotik semulajadi yang penting kepada bayi. Susu ibu juga menguatkan sistem imuniti bayi serta melindungi bayi dari cirit birit, selsema, bronkitis dan radang paru-paru.

Pada masa yang sama, ibu-ibu menyusu juga perlu menjaga pemakanan kerana ianya akan disalur pula kepada bayi yang menyusu.

Di antara 5 tips di atas, tip no 5 sangat meberi kesan kepada keluarga kami. Ianya memberi impak jangka masa panjang sebenarnya. Yusuf dan Maryam adalah anak susu ibu, syukur mereka sangat jarang sakit dan demam. Sistem imuniti mereka kuat dan mereka membesar menjadi anak-anak yang cegas. Rindu pula zaman penyusuan dulu. Ehemm..

5 tips elak anak sakit di atas nampak biasa-biasa, tapi insyaAllah boleh dipraktikkan sebagai ikhtiar untuk elak anak-anak sakit atau demam. 

Walaupun sekadar batuk dan selsema, sama-sama kita ikhtiar untuk elakkan. Sesekali mahu bercuti sempena cuti sekolah ni, janganlah sampai tergendala kerana masalah kesihatan pula.

Akhir kata, ibu ucapkan selamat bercuti. Semoga cuti sekolah kali ini dipenuhi dengan aktiviti bermanfaat dan meninggalkan momen manis kepada kita sekeluarga.



Saturday, November 22, 2014

Cuti Dah Mula Jom Simpan Baju Sekolah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Semalam hari terakhir persekolahan bagi tahun 2014. Anak-anak sekolah dah boleh hip hip horey!! Yusuf dan Maryam belum boleh lagi, mereka hari ini masih kena hadir kelas tafiz hujung minggu mereka.

Kelas tu ibu ada cerita dalam entry Anakanda Yusuf dan program Tahfiz Hujung Minggu. Tak lama lepas tu Maryam pun menyusul ikut serta, tapi tak ada la pula entrynya. 

Kami dijangka bercuti (holiday) dan balik kampung bulan 12 nanti. Sementara itu, ibu dah rangka 5 aktiviti harian untuk anak-anak. Jemput baca di SINI (klik) untuk kita kongsi-kongsi idea.

Harini ibu dah mulakan operasi menyimpan pakaian sekolah anak-anak. Mana yang boleh pakai lagi, mana yang tidak..

Baju dan tudung Maryam semua elok lagi dan boleh sambung pakai untuk tahun depan. Cuma kainnya dah senteng sebab anak ibu dah makin tinggi. Alhamdulillah, anak ibu sihat dan membesar dengan baik..

Yusuf pula, 100% baju baru nampaknya. Sebab kalaupun masih muat semuanya dah lusuh dan lunyai. Belum hujung tahun pun dah banyak kali beli seluar baru sebenarnya, sebab tang lutut rajin berlubang. Hahaha.. Almaklum kanak-kanak lelaki sebenar. Alhamdulillah, anak lelaki ibu ini sihat, cergas dan aktif. 


Baju-baju yang hendak disimpan..

Ibu-ibu, mari kita bersiap sedia fizikal dan mental menghadapi kerenah anak-anak sepanjang cuti sekolah. Semangat!!

Ps: Terima kasih singgah di Jemari Asmara. Tinggalkan jejak ya, insyaAllah akan berkunjung balas :D

Thursday, November 20, 2014

Homestay Murah di Sekinchan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Tak lama lagi cuti sekolah, masing-masing mesti sudah ada perancangan masing-masingkan. Ada yang nak hantar anak-anak ke kem cuti sekolah, ada yang nak bercuti, dan ada yang nak balik kampung.

Tidak kurang juga yang bakal bertunang dan mendirikan rumah tangga. Kad-kad jemputan pun dah mula diedar nampaknya. Maka ada lah juga nanti rombongan yang bakal mengiring kan?

Bagi mereka yang bakal membuat rombongan meminang mahupun pengantin di sekitar Sekinchan Selangor, ibu ada menyediakan perkhidmatan home stay (bilik) dengan sewa berpatutan yang terletak di Kampung Parit Sebelas, Pasir Panjang Sekinchan.

Terletak di tengah-tengah di antara Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Tidak jauh dari pekan Sungai Besar, Sekinchan dan Tanjung Karang.

Homestay ini di atas tanah kebun tetapi berhadapan dengan sawah padi. Malah tidak jauh dari kedai runcit dan hanya perlu berjalan kaki sahaja.


Ini bilik yang disediakan, luas dan selesa..

Menempatkan sebuah katil bersaiz queen, tilam, bantal, almari dan penyangkut tuala. Ruang lantai yang luas dan boleh hampar 2 buah toto saiz sederhana.

Terdapat 3 buah bilik sedia untuk disewa dengan kadar RM50.00-RM70.00 sahaja semalam bagi setiap bilik. (RM untuk 1 bilik).

Ada 2 bilik dengan bilik air di luar dan 1 bilik dengan bilik air di dalam.

Untuk pertanyaan lanjut dan tempahan hubungi ibu Yusuf ditalian 011-11537821 (Zefa). Tempahan awal sangat digalakkan. Terima kasih.

Friday, November 14, 2014

Tips Mudah Mengurus Kain Baju Belum Berlipat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Salah satu kelemahan ibu yang nyata ialah kurangnya kerajinan melipat baju. Basuh baju, sidai baju, angkat baju dari ampaian memang wajib buat hari-jari. Nak lipat? Alaaaaaaahai..

Masa mula-mula cuti tanpa gaji tempoh hari, punyalah semangat nak memastikan tiada gunung ganang kain dalam rumahku syurgaku ini. Tapi kelaut juga. Hahaha..

Lepastu mulalah berangan-angan, alangkah bagusnya kalau ada mesin lipat kain. Mesin lipat kain sebenar tau, bukan yang pakai kotak tu.

Tapi ibu percaya, bukan ibu sorang je yang berangan mesin lipat kain tu. Ramai je ada angan-angan yang sama. Betul tak? 

Baru-baru ini ada perbincangan dalam sebuah group dekorasi di FB. Beberapa orang rakan memberikan pandangan tentang;

Tips Urus Kain Tidak Berlipat

1. Letakkan kain di dalam bakul supaya kain tidak bersepah-sepah

2. Asingkan bakul untuk setiap ahli keluarga untuk memudahkan pencarian baju

3. Sediakan bilik khas untuk mengurus baju-baju yang belum dilipat dan digosok. 

4. Sidai baju menggunakan penyangkut (hanger), jadi tak perlu lipat. Kering je kain boleh terus angkat dan sangkut dalam almari.

Secara umumnya 4 tips itu adalah tips yang bagus dan boleh dipraktikkan. Tips no 1 hingga 3 akan memstikan baju tidak bersepah-sepah walaupun belum dilipat. 

Cuma tips no 3 tu hanya praktikal untuk yang mempunyai rumah besar atau ada bilik yang tidak digunakan. Macam rumah kami ni ada 3 bilik sahaja. 1 ibu ayah, 1 Yusuf dan 1 Maryam, maka bilik untuk baju adalah tiada. Tips no 4 yang paling mudah cuma perlukan hanger yang banyak dan ruang almari yang besar.

Tapi kan, ibu sebenarnya ada tips ibu sendiri. Nak tau?

Kita tengok gambar-gambar ni ye..


 Sebelum..


Selepas..

Hehehe.. Tips ibu lepas angkat kain dari ampaian terus longgok atas sofa. Bila pemandangan tercemar dengan gunung ganang kain maka motivasi untuk menarahnya menjadi tinggi. Cepat-cepat lipat dan simpan..

Bila duduk dalam bakul, haaaaa.. Berhari-harilah jawabnya dalam bakul tu kan. Bila pakai hanger pula, masih perlu diperbetulkan gaya menyangkutnya. Kalau tak, tak muat almari nanti. Jadi, apa-apa hal, parking atas sofa dulu.

Cuma tips ibu ni banyak la kelemahannya. Kalau tak sempat lipat, memang sakit mata memandang. Bila ada tetamu datang, kelam kabut nak sorok baju-baju tu..

Jadi sebelum praktikkan tip yang ibu bagi, fikir-fikirkan dulu ye. Hehehe..

Okey, ibu nak sambung lipat kain ni, hingga di sini dulu tarian jemari ibu ni. Kalau ada tips dan cadangan tambahan, sila tinggalkan dikotak komen ye. Nanti ibu edit di entry, mana tahu dapat membantu kawan-kawan yang lain.

Hingga jumpa lagi..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...