Follower

Showing posts with label Pencegahan Barah. Show all posts
Showing posts with label Pencegahan Barah. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

HPV & Kanser Pangkal Rahim

Kanser pangkal rahim boleh dicegah

MENCEGAH lebih baik daripada merawat. Jika ramai wanita sedar akan kepentingan pencegahan awal bagi mengelak dihidapi penyakit berbahaya seperti kanser, pastinya bilangan pesakit kanser pangkal rahim juga akan berkurangan.

Statistik dari 2008 hingga kini menunjukkan lebih 500,000 wanita mendapat kanser pangkal rahim dengan 275,128 kematian dilaporkan di seluruh dunia.


Paling menyedihkan apabila 90 peratus daripada kes yang dilaporkan berlaku di negara membangun dan ini bermakna, Malaysia tidak terkecuali. Kerajaan tidak ketinggalan memperuntukkan sebanyak RM150 juta melalui Program Imunisasi Human Papillomavirus (HPV) membabitkan 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun bagi mencecah kanser pangkal rahim yang juga pembunuh nombor dua di kalangan wanita di negara ini.

Sejak ia mula dilaksanakan akhir Mei lalu, seramai 91.2 peratus atau 129,207 remaja menerima dos pertama mereka manakala 88.56 peratus kini sedang mendapatkan dos kedua.

Melihatkan angka berkenaan, program ini dikatakan mendapat sambutan baik daripada masyarakat walaupun pada awalnya wujud bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan ia sebagai pembaziran.

Malah, tidak kurang juga cuba menyebarkan cerita daripada mulut ke mulut mengenai vaksin ini yang dikatakan masih baru dan kurang kajian sehingga boleh meragut nyawa penerima.
Pakar Ginekologi dan Onkologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Woo Yin Ling, berkata peruntukan sebanyak RM150 juta untuk tujuan vaksinasi tidak sepatutnya dianggap sebagai beban ekonomi kerana ia adalah pelaburan dengan hasil yang jauh berharga di masa depan.

Katanya, analisis keberkesanan kos jelas menunjukkan pelaburan itu bakal mengurangkan kes kanser serviks, seterusnya menurunkan kos rawatan.

“Ia boleh ditafsirkan sebagai pelaburan untuk jangka masa panjang yang boleh dilihat dalam 10 tahun hingga 15 tahun sebelum bilangan wanita diserang kanser serviks akan berkurangan,” katanya.

Prof Yin Ling mengakui usaha menyedarkan masyarakat mengenai kebaikan vaksinasi HPV amat perlu kerana di zaman teknologi, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dengan mudah di internet.

Tegasnya lagi, masyarakat perlu berhati-hati dengan maklumat negatif dan tidak tepat yang dibaca dari blog serta laman web tertentu .

“Merisaukan jika orang ramai melakukan analisis sendiri dan hanya berdasarkan pendapat individu yang bukan terdiri daripada pakar perubatan,” katanya sambil menambah Malaysia menjadi negara pertama di Asean yang menawarkan suntikan pelalian HPV sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang.

Prof Yin Ling berkata, vaksinasi itu lebih berkesan jika diberikan sebelum permulaan hubungan seksual kerana remaja zaman ini didapati memulakan hubungan seks di awal usia remaja.

Kajian populasi besar dijalankan di seluruh dunia menunjukkan vaksin HPV mempunyai keberkesanan melebihi 90 peratus dalam mencegah perubahan prakanser di bahagian pangkal rahim yang disebabkan HPV 16 dan 18.

Data rawatan susulan wanita yang pernah mendapatkan pelalian HPV sejak enam tahun lalu menunjukkan tiada seorang pun daripada mereka mengalami perubahan prakanser serviks tahap tinggi.

Tambah Prof Yin Ling, kanser serviks boleh dirawat dengan amat efektif jika dikesan pada peringkat awal tapi sayangnya kebanyakan kes di negara ini lambat dikesan.

“Jika dirawat apabila berada di tahap serius, peluang penyembuhan menjadi kurang daripada 50 peratus dan lebih malang jika wanita itu masih muda, meninggalkan anak yang masih kecil dan pesakit juga menyumbang nafkah untuk keluarga,” katanya.

Kajian dijalankan Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati kanser serviks dan kanser payudara banyak dihidapi golongan ibu muda berusia 40 tahun hingga 49 tahun.

Sikap malu dan kurang kefahaman terhadap tanda awal penyakit menghalang wanita tempatan terutama Melayu tampil mendapatkan rawatan menyebabkan banyak kes dirujuk apabila berada di tahap kritikal.

“Sedih juga apabila menerima pesakit muda yang hanya datang mendapatkan rawatan apabila berada pada tahap ketiga dan keempat sedangkan sebagai pakar, kami tahu, kanser jenis ini boleh dielak tapi kerana kurang pengetahuan dan dorongan menyebabkan mereka berdepan maut,” katanya.

Ramai juga mungkin kurang jelas bahawa kanser serviks adalah satu-satunya kanser yang disebabkan oleh jangkitan virus dan ia boleh dicegah daripada awal.

“Sebanyak 70 peratus penyebab kanser serviks berpunca daripada virus HPV 16 serta 18 dan melalui vaksinasi, risiko jangkitan boleh berkurangan kepada 70 peratus manakala pemeriksaan papsmear secara berkala pula membantu sebanyak 30 peratus.

“Kanser serviks boleh dicegah dan kerana itu saya katakan, pertambahan bilangan kes barah pangkal rahim mungkin berpunca daripada maklumat yang tidak diterima secara jelas oleh wanita di luar sana,” katanya.

Satu lagi cara paling efektif mencegah kanser serviks adalah melalui ujian papsmear mengikut jadual ditetapkan. Ia dibuktikan dengan jelas oleh negara yang mempunyai bilangan wanita yang melakukan ujian ini mengikut kekerapan disyorkan.

Di Malaysia, seperti negara membangun lain, ramai wanita masih lagi tidak mendapatkan ujian papsmear dan untuk itu, kajian menunjukkan bahawa pencegahan melalui pelalian HPV adalah yang paling berkesan.

Pelalian HPV turut bermanfaat bagi mencegah kanser zakar, tonsil, oropharyngeal dan dubur yang dikaitkan dengan HPV 16 dan 18. Ini bermakna ia juga berkesan terhadap lelaki namun begitu bukti sahih sehingga kini masih dalam peringkat kajian.


Info diambil dari SINI.


Monday, December 27, 2010

Apakah Yang Kita Perlu Tahu Tentang Barah Payudara?


* Ia adalah barah yang kerap dikesan di kalangan wanita
* Ia adalah faktor utama kematian akibat kanser di kalangan wanita
* Ia adalah penyebab utama kematian awal
* 9% dari keseluruhan barah di dunia
* 6-8% keseluruhan kematian akibat barah

Maklumat diambil dari Info Sihat.



Saturday, December 25, 2010

Barah Payudara: Apakah?

Masih terngiang-ngiang kisah perginya seorang ibu berumur 31 tahun meninggalkan 3 orang anak kecil kerana barah payudara seperti saya ceritakan di n3 'Ajalnya Kerana Barah Payudara'. Justeru, saya terpanggil untuk menggali maklumat tentang barah payudara sebagai salah satu usaha pencegahan.

Saya mulakan dengan maklumat: Mengenali Barah Payudara.

Barah merupakan antara kumpulan penyakit yang terjadi daripada tindakan sel yang bertindak di luar tabiat asalnya.  Tahukah anda bahawa setiap organ pada tubuh badan kita terbentuk daripada pelbagai jenis sel?  Pada kelumrahan serta sifat sedia asalnya, sel-sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar yang terkawal serta dihasilkan mengikut keperluan tubuh seseorang individu.   

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ianya  akan menghasilkan lebihan tisu.  Lebihan tisu ini jugalah yang dikenali sebagai ketumbuhan.  Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis ketumbuhan iaitu benign(tumor bukan barah) dan malignan(tumor jenis barah).  Jenis ketumbuhan yang pertama iaitu benign adalah merupakan ketumbuhan yang tidak membahayakan nyawa para penghidapnya. Hampir 80 peratus daripada para pengidap ketumbuhan payudara adalah dari kalangan mereka yang mengalami ketumbuhan jenis ini. 

Barah payudara adalah merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara. Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran.  Sel-sel barah ini juga mampu untuk membebaskan dirinya daripada ketumbuhan asal sekaligus memasuki saluran darah serta sistem perlimpahan (Lymphatic system).  Inilah juga cara serta kaedah penyakit barah payudara menyerang bahagian-bahagian organ lain para penghidapnya.  Proses penjangkitan ini juga dikenali sebagai metastasis.

Ajalnya Kerana Barah Payudara..


Hari ini ibu tiba-tiba teringat topik perbualan ibu dengan seorang jiran semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri yang lepas. Mungkin kerana 'kawan baik' ibu bakal datang dan ada simptom-simptom tertentu yang membuatkan ibu teringat kembali kisah itu.

Jiran ibu menceritakan menantu perempuannya telah meninggal beberapa bulan yang lepas dalam usia 31 tahun. Ajalnya kerana sudah ditentukan Tuhan namun penyebabnya barah payudara.. sangat menyentuh hati ibu tatkala tahu dia meninggalkan 3 orang anak yang masih kecil.

Lebih meruntun hati, penyakitnya dapat dikesan semasa mengandungkan anak ketiga. Tetapi kerana cintanya terlalu mendalam terhadap bayi yang dikandungkan, dia mengambil keputusan untuk menangguhkan sesi rawatan sehingga bayinya dilahirkan.

Namun Allah lebih menyayanginya, akhirnya dia dijemput jua oleh yang Maha Esa.
Ajalnya kerana sudah ditentukan Tuhan, namun puncanya lewat menjalani rawatan.

Andai kita ditempat dia, sanggupkah kita 'melepaskan' bayi itu? Sukar untuk ibu jawab.

Ibu bertanya pada diri sendiri, 'apa usaha pencegahan yang ibu dah buat?'.
Kawan-kawan pula bagaimana? Mungkin kita boleh kongsi sesuatu..... sebelum terlambat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...