Follower

Wednesday, November 30, 2011

Jelajah Jemari Asmara (JJA) GA: Ibukah Yang Salah?


Assalamualaikum wbt..



Entry tak ada gambar okey. Sila bayangkan ada banner Jelajah Jemari Asmara GiveAway ada dalam entry ini. Hik hik.. (boleh pulak main suruh bayang-bayang ye?)

Update: dah ada ganbar dah ye.. :-)

Entry ringkas sahaja, ini adalah update tentang GA yang pertama..

Kepada semua peserta JJA GA, sila rujuk semula cara penyertaan ya.. :D

Terima kasih.. Sayang anda semua. Terima kasih meriahkan JJA GA.

Belum joint? Klik SINI..

Monday, November 28, 2011

Bila Ibu Yusuf dan Maryam Bershawl


Entry tunjuk muka.. Bukan bererti entry syok sendiri.. Hahaha..




Ada manis? Hahaha.. Jangan tengok orangnya.. Tengok shawlnya sahaja okey..

 Fakta: Ini kali pertama seumur hidup, ibu Yusuf dan Maryam pakai shawl.

Shawl ni adalah rezeki dari ber GCL. Lebih manis, ia adalah GA pertama yang ibu sertai, juga kemenangan pertama dalam ber GCL. Terima kasih Qis. Entry ibu terima hadiah di SINI.

Shawl ni sebenarnya sudah pernah diminta orang. Semua orang kata ibu takkan pakai shawl ni, sebab shawl ni pendek dan nipis. Mereka tahu ibu cuma pakai tudung tutup dada sahaja.. Tapi ibu sayang nak bagi orang, walaupun ibu pun kata, ibu takkan pakai. Maknanya, selama 10 bulan shawl ni berlipat dalam almari.

Sehinggalah suatu hari, masa ibu bw ke blog Keluargaku Sayang.. Kak Chik buat tutorial cara pakai shayla. Shayla ni selendang yang selalu dipadankan dengan abaya. Kak Chik ni berpurdah tau.. Masa Kak Chik tunjukkan cara pakai shayla tu, Kak Chik dah pakai siap-siap tudung labuh. Maknanya, shayla tu dipakai berlapis dengan tudung labuh.


Sejak tu ibu ada idea nak pakai shawlni. Itulah ceritanya, bagaimana ibu Yusuf dan Maryam boleh terjebak pakai shawl. Ayah Yusuf kata cantik.. Hihihi..


Ps: Kali pertama pakai ibu rasa rimas terbeli-belit. Mungkin sebab tak biasa.. Anda bagaimana, suka pakai shawl?





Nasi Lemak Sambal Daging Tetel


Isnin.. Cuti.. Best.. Masak.. :D

Isnin yang sangat best.. Best sebab cuti. Sebab biasanya Isnin adalah hari paling stress di pejabat. Duduk rumah, ulit anak-anak, masak-masak, jalan-jalan.. Seronok yang amat sangat.

Tapi keseronokan itu sedikit 'terpotong' bila terima sms dari seorang pegawai yang remind tentang laporan bulanan. Huhu.. Sms kacau daun betul lah. InsyaAllah, Puan Zefa Nor Asmara Jubir belum pernah tak hantar laporan. Tau, tau, tau..! Jangan mara arrr sahabat.. Kita cerita kat blog kita.. Kih kih kih.. Si dia tu kadang-kadang baca juga Jemari Asmara ni.. Hihihi..

Kita abaikan cerita potong stim itu. Meh kita tunjuk menunjuk makanan. Sila, sila, sila.. Sila jamu mata je ye.. :D


 Nasi lemak sambal daging tetel Jemari Asmara.. Apa itu daging tetel? Ala, daging yang campur lemak-lemak tuu.. Huhu.. makin berlemak-lemaklah ibu Yusuf dan Maryam ni..


 Sesangat ringkas mingkas.. Tak ada sambal ikan bilis, tak ada ikan bilis goreng, tak ada timun..


 Dihidang dengan nescafe kurang manis..


Walla.. meh nak tunjuk ruang depan nan bersepah. Hahaha..

Toto tu nak hantar dobi tak terhantar-hantar, transit situ dulu. Maryam baca buku sepah-sepah.. Sebelah kiri tu, ada sikit barang katering. Ibu tolong bawakan balik dari program anjuran pejabat ibu, sampai sudah katerer tak ambik-ambik lagi. Nak letak luar takut hilang. Hmmm..

Okeylah.. ini saja coretan kalini. Anak-anak dah bunyi nak ajak jalan-jalan. Adik dah nangis-nangis nak buat istana pasir. Waduh.. nak bawa ke mana pun tak tahu.

Jumpa lagi!!

Ps: Ke mana sahabat-sahabat hari ni?


Mandi Manda @ Sungai Congkak


Entry rakaman kebahagian ibu 27 November 2011

Ahad pertama sejak abah ibu dah tak duduk bersama kami, kami tak balik kampung. Err, maksudnya tiap-tiap Ahad kami balik kampung, tapi mingguni kami tak balik kampung.

Ayah ambil kesempatan bawa anak jalan-jalan. Tu pun ibu tak tau perancangan.. Tau-tau, pagi semalam Yusuf bagi tahu ibu, ayah nak bawa mandi sungai. Seperti biasa, ibu ikut aje.

En Ayah memang macam tu.. kurang komunikasi sikit dengan isteri dia a.k.a tak banyak cakap. Isteri dia pulak terlebih cakap. Haha.. 

Tapi terima ajelah seadanya pasangan anda. Ibu selalu pesan pada kawan-kawan ibu yang cerita pasal kelemahan suami masing-masing.. Ibu cakap; bersyukurlah bahawa suami kita bukan penagih dadah. Pesan kat orang, merangkap pesan pada diri sendiri la tu. Upss.. lari tajuk la pulak.

Ringkaskan cerita, ayah bawa anak-anak mandi di Sungai Congkak, Hulu Langat. Kita layan gambar hasil rakaman Coolpix ibu okey.. :D


 Suasana di Sungai Congkak.. 1 Muharam 1433H. Orang ramai juga sebenarnya, tapi tak adalah sampai bersesak-sesak. Nampak tak Maryam nuuunnnn di seberang sungai?

Apa dia buat? Jom kita zoom dia..


 Ooooo.. main pasir rupanya. Dia siap cakap kat ayah, besok nak datang lagi bawa tools. Adik nak buat istana pasir. Hihi..


Dua beradik yang kegembiraan main air..


 Abang Yusuf ni tak pandai berenang lagi sebenarnya. Tapi dia nak juga tunjuk skil menyelam.. Siap jerit kat ibu suruh tengok dia nak selam katanya.. Ibu layan je lah.


Anak solehah ni sikit tak takut air.. Siap biarkan diri dihanyut arus lagi. Ayah yang beria kejar dia, dia selamba aje..

 Pada firasat ibu, adik akan pandai berenang dulu dari abang. So abang? Usaha pasti jaya! Abang boleh!!

Aik.. gambar anak-anak dan ayah je, ibu mana? Hihi.. Adaaaaaaa.


Ibu Yusuf dan Maryam yang ayu dengan payung orennya. Ayulah konon (sila menyampah, kih kih..) Hujan panas sebenarnya. Sepanjang di sana, dua kali ibu terpaksa kembangkan payung.

Banyak lagi gambar, tapi cukuplah. Hampir semua gambar zoom dan agak berat.. Broadband belum bayar lagi ni.. Hihi..

Ps: Ada kisah di sebalik shawl yang ibu pakai. Nantilah ibu cerita di entry yang lain ya..

Jumpa lagi!!


Sunday, November 27, 2011

GA Rush Hour


Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, pagi Ahad 1 Muharam 1433H yang ceria buat ibu sekeluarga. Malam tadi ibu dah lancarkan Jelajah Jemari Asmara GiveAway. Secara automatik pula, mood ibu untuk berGCL kembali semula.

Harini ibu nak sertai GA Rush Hour anjuran Blog 3A's. AnisAlya selalu datang komen-komen di Jemari Asmara. Maka ibu Yusuf dan Maryam wajib support GA ni..


Cara penyertaan adalah dengan mengemukakan sekeping pic aksi spontan. Maka dengan ini ibu mempersembahkan sekeping pic aksi spontan anakanda Maryam Nabihah.



Gambarni di ambil semasa Maryam, abang Yusuf dan ayah main bola di padang depan Muzium Negeri Selangor. Pintu gol tu memang selalu di bawa setiap kali anak-anak dan ayah main bola. Tapi sikecik ni suka sakat abang dan ayah. Dia suka bawa lari pintu gol tu.. Kadang-kadang sampai merajuk abang Yusuf. Ibu yang memerhati ni tergelak-gelak sendiri dengan telatah mereka..

Cerita lanjut tentang gambarni ada ibu kisahkan di entry Riadah Petang-Petang.

Kawan-kawan semua, jom kita sama-sama meriahkan Ga anjuran Blog 3A's ni. Untuk maklumat lanjut, klik sahaja banner di atas. Jom, jom, jom!

Semoga ada rezeki untuk ibu Yusuf dan Maryam.. :D



Saturday, November 26, 2011

Tat Kastad Buahan Koktail


Entry tentang air tangan ibu Yusuf dan Maryam..


 Tat kastad buahan koktail Jemari Asmara..

Sebenarnya, ibu berhasrat nak 'bercuti' sebentar dari arena mencuba resepi. Badan semakin montel gara-gara sendiri masak, sendiri makan. Hihi..

Tapiii (ada aje alasan..), semalam mem kat pejabat bagi tart shell. Mem pun dah tau, hanya ibu seorang pegawai perempuan di pejabat yang berkongsi hobi dengan dia, maka dia bagilah kat ibu Yusuf da Maryam ni ha.. Orang memberi, kita merasa. Alhamdulillah..

Pagi tadi maka ibu pun gigih 'mengetat'. Mem cadangkan buat cheese tart sebenarnya. Dia siap bagi blueberry filling lagi. Tapi, memandangkan asyik-asyik cheese aje semenjak dua ni, ibu ambil keputusan nak buat tat kastard sahaja. Kebetulan, ada pula buah-buahan koktail dalam simpanan.


 Nampak sedap tak?

Ibu buat sedikit carian pagi tadi untuk resepi kastadnya. Tapi rata-rata ada telur.. Hmm, ibu okey je makan telur sebenarnya.. janji jangan ada bau dia. Cuma, ibu rasa nak cuba buat tanpa telur. Akhirnya, ibu buat kastad ringkas sahaja. Tak perlu susah-susah, tart crust tu sendiri dah sedap sebenarnya. ada rasa manis dan lemak.. Masam-manis dari buah-buahan koktail lagi membuatkan rasa tat ni sempurna.. :D


Jemput makan.. garfu sebelah kiri ye sebab anak-anak dua-dua kidal.. (padahal hiasan je, ngap pakai tangan lagi best.. hihi..)

Ibu publish dulu entry ni buat cuci-cuci mata. Nanti ibu update resepinya, buat rujukan sendiri di kemudian hari. Syer dengan kawan-kawan juga.. :D

Update!!

Tart Crust / Shell

Sumber: Azita Kitchen

Bahan-bahan :

170gm marjerin
50gm gula aising
1 biji telur Gred C
290gm tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara :
  1. Pukul marjerin dan gula dengan menggunakan senduk kayu. Jangan putar lama sangat.
  2. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi dengan senduk kayu.
  3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
  4. Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar.
  5. Bakar pada suhu 170oC sehingga masak.
Nota :
Jika guna telur Gred B, buang sedikit putih telurnya untuk mengelakkan crust menjadi keras sangat.

Custard Filling
Bahan-bahannya:

2 cawan air
1 cawan susu cair
3 sudu makan tepung kastad (tinggi)
3 sudu makan gula (rata)
1 sudu kecil esen vanila

Cara-caranya;

Campur semua bahan di atas dalam periuk. Masak dengan api perlahan dan sentiasa dikacau sehingga pekat. Biarkan sebentar sebelum di isi ke dalam tart shell. Selepas itu, susunka buah-buahan koktail ke atasnya.

Nota ibu:
Resepi kastad di atas adalah sukahati ibu Yusuf sahaja. Untuk resepi yang ada telur sila ke SINI

********************
Ps: Ibu dah konpius;
In English CUSTARD.. Melayu; KASTAD atau KASTARD?

In English TART.. Melayu; TART juga atau TAT..?

Ada sesiapa boleh bantu orang Jawa ni? hehe..




Burberry Body


Assalamualaikum wbt


Burberry Fragrances Sample yang baru ibu terima..

Jika bertanya pada ibu Yusuf, apakah wangian yang paling dia sukai.. jawapannya adalah Burberry Made in France. Tapi suka ajelah, belinya tidak sebab sangatlah mahallllllllllll. Ratus-ratus gitu.. Yang pernah ibu guna pun ayah Yusuf yang belikan. 

Jadi, masa kawan-kawan blogger war-warkan, burberry menawarkan sample percuma ibu terus je terjah fanpage burberry di FB. Bagilah maklumat apa yang patut. Dah lama jugalah rasanya..

Tup-tup, minggu lepas ibu terima satu bungkusan yang sedikit pelik. Tak ada stem, tak ada apa-apa dokumen penghantaran. Cuma macam ni je..



Sekali buka, ooooo.. sample rupanya. Saja-saja isi borang, tak sangka dapat pula.

Baunya? Hihi.. mestilah best. Tapi, bagilah apa pun minyak wangi pada ibu, ibu tetap suka yang ini..

v

v

v

Burberry London.. Image dari google je. Malas pula nak selongkar almari untuk tangkap gambar.

Ps: Anda suka suka minyak wangi apa?






Friday, November 25, 2011

Doa Supaya Dipermudahkan Membayar Hutang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Rehat yang panjang di hari Jumaat yang mulia.. Ibu habiskan masa dengan membaca majalah Solusi. Juga mencari info-info positif di internet.

Ibu kongsikan sesuatu yang bermanfaat di sini. Kerana ibu percaya hampir semua orang ada hutang. Mudah-mudahan, kita semua dipermudahkan urusan dalam menyelesaikan hutang-hutang kita;




Thursday, November 24, 2011

Kek Coklat Kukus Berkeju Ala-Ala Devil's Food Chocolate Cake


 Entry makanan lagi........ :D


 Silalah gelak guling-guling ye, jika anda rasa tajuk di atas indah khabar dari rupa. Hahaha.. Ibu Yusuf ni tak adalah tangan bangku sangat sebenarnya, (pinjam istilah Ummu Muhammad) tapi entahlah.. bab deko-deko makanan mesti gagal. Ish ish ish.. :-( Tapi yang penting rasa kan?

Untuk makluman, ibu tak guna pun resepi Devil's Food Chocolate Food tu.. Tapi sebab ada la ala-ala sikit, nak la juga bagi nama tu. Hik hik.. (marah laa tuan punya resepi asal..)

Al kisah mula teringin nak buat, bila sahabat blogger nun jauh di Finland sana buat kek ala-ala macamni. Tapi tangguh punya tangguh, bila ibu cari balik entry tu kat blog pepel tu, tak jumpa la pulak.

Maka bermula la operasi gugel menggugel. Masa tu la jumpa resepi Devil's Food Chocolate Food tu.. Tapi ada beberapa faktor yang ibu tak dapat ikut resepinya;

Pertama: Resepi kek coklatnya memerlukan dibakar dengan oven. Ibu tadak oven. Nak cuba derhaka tukar bakar dengan kukus takut tak jadila pulak.. Jadi ibu guna resepi Kek Coklat Lembab Kukus sahaja.


Kedua: Tang Cream Cheese Frostingnya, ibu dapat ikut. Cuma ada derhaka sikit sahaja.. Itu pun sebab bahan tak cukup.


Ketiga: Resepi asal coklat ganache untuk DFCK tu memang nampak sangat sedap. Tapi kena guna whipping cream la pulak. Ibu jelajah pasaraya, tak jumpa satu pun jenama yang ada tanda halal. Dah la ada kod E4** pula tu. Ibu baca di internet whipping cream jenama Anchor halal, cuma tak jumpa pula jenama tu masa cari. Jadi ibu guna resepi coklat ganache dari blog Dayang Jack. Cuma guna coklat masakan, mentega dan susu segar. Tapi ibu buat tercair la pulak.. Huhu..

Rupa paras yang tak berapa semenggah.. Tapi Yusuf kata; "Mmmm.. sedapnya ibu". Kembang kempis ibu mendengar pujian anak. Kih kih kih..

Ibu letak resepi yang ibu guna di sini sebagai rujukan sendiri dikemudian hari.

Resepi kek Coklat Lembab Kukus Munira

Bahan-bahan
 
Bahan A
  • 1 cawan gula pasir - ibu guna 3/4 cawan sahaja
  • 1 cawan serbuk koko
  • 1 cawan susu cair - ibu guna susu kotak
  • 1 cawan susu pekat
  • 1 cawan minyak masak
  • 1 sudu kecil serbuk nescafe - resepi asal tiada
** semua bahan di atas digaul sebati dan masak atas api perlahan sehingga gula larut. Matikan api dan rehatkan sekejap bila dah sebati.

Bahan B - di ayak

  • 3/4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil (sudu kfc) soda bikarbonat
  • 1 sudu kecil (sudu kfc) baking powder
Bahan C
4 biji telur - diblender (ibu pukul hingga kembang.. dah beli dah pemukul telur)


Satukan bahan B dan bahan C ke dlm bahan A secara berselang seli dan gaul dgn senduk sahaja.

Bila dah sebati masukkan ke dlm loyang yg digris dan dilapik kertas kalis minyak.
Kukus selama 1 jam atau sehingga masak. Jgn buka pengukus semasa proses mengukus 45 minit yg pertama takut kek jd mendap.

** Ibu kukus 30 minit sahaja sebab gas habis. Sadis betul, tapi alhamdulillah dah masak tau!!

Resepi Cream Cheese Frosting

Bahan-bahannya:

250 gm philapedia cream cheese (ibu guna Tartura, murah sikit..)
125 gm butter
1 cawan icing sugar - ibu guna 3 sudu makan sahaja
1 tsp esen vanila
1 st lemon jus - ibu pandai-pandai gantikan dengan 2 sudu makan yogurt strawberi

Cara-cara: Pukul kesemua bahan hingga berkrim. sapu pada kek yang telah sejuk tadi. Kemudian rehatkan kek yang telah dosapu frosting ini ke dalam peti ais sebentar.


Topping Colat/ Ganache


Bahan-bahannya:

100 gm coklat masakan
125 ml susu segar/ susu perisa coklat
50 g butter (dipotong kecil2)
4 sb madu (boleh juga digantikan dgn gula perang atau gula biasa)

Cara-cara : Satukan kesemua bahan di dlm periuk/saucepan, dan masak dgn api perlahan. Gunakan kaedah double boil. Kacau sehingga kelihatan pekat. Tutupkan api, dan kacau lagi sebati. Setelah agak suam sedikit, bolehlah dicurahkan ke atas kek tadi (pastikan kek tu sejuk terlebih dahulu). 

Untuk rupa sebenar DFCK sila tekan SINI atau SINI.
Ps: jika ada info tentang whipping cream ada tanda halal, sila syer ye. Tq.. :D



World Of My Career: 23.11.2011


Ibu Yusuf dan mikrofon.. tak dapat dipisahkan. Harap-harap seramai-ramai umat tu, adalah yang pasang telinga bersunguh-sungguh kan..



Wednesday, November 23, 2011

Jemari Asmara: Setahun Sudah..



WW sahaja ya hari ni.. Pagi ni ibu agak kelangkabut. Hujan dan sejuk, maka anak-anak sedikit slow bersiap. Ada tugasan di luar pejabat sedang menanti pula tu..

Jumpa lagi. Salam sayang dan terima kasih atas sokongan pada Jemari Asmara selama setahun ini..

Wassalam.. :D


Tuesday, November 22, 2011

2012: Yusuf Nabhan Naik Kelas


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Ini adalah entry catatan kebahagian dalam hidup ibu. Buat kenang-kenangan di masa hadapan. Buat tatapan anak-anak ibu suatu hari nanti.

Ini cerita minggu lepas sebenarnya, tapi tertangguh-tangguh nak buat entry. Jumaat lepas, ibu dan ayah ke sekolah Yusuf. Membawa misi serampang dua mata.. Sain report card merangkap ambil rezeki RM100.00.

Yusuf Nabhan.. Ibu ambil gambar dari belakang. Menonong je laju tinggalkan ibu dan ayah dibelakang.

Secara keseluruhan, ibu dan ayah berpuas hati dengan keputusan Yusuf. Yusuf menunjukkan pencapaian sebenar dirinya dalam peperiksaan kalini. Periksa pertengahan tahun yang lepas, Yusuf demam chicken pox dan tak dapat hadiri periksa. Sudahnya, selepas baik dia terpaksa pulun semua paper dalam masa sehari.

 
Perbezaan keputusan Yusuf di antara periksa pertengahan tahun dan hujung tahun..

Untuk sekolah Kebangsaan, tahunni Yusuf berada di kelas ke dua. Alhamdulillah, tahun hadapan Yusuf akan berada di kelas pertama. Ibu harap, abang akan buat yang lebih baik untuk tahun hadapan.

Ibu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak ibu. Semoga anak-anak ibu peroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.


Monday, November 21, 2011

Bukan Lagi Genius Aulad


Assalamualaikum wbt..

Entry ini adalah jawapan kepada entry Maryam Nabihah @ 2012: Genius Aulad Atau ********??


Lama ibu berfikir dan berfikir. Agak lama juga mencari jawapan. Akhirnya hari ini ibu membuat kata putus. Pagi tadi ibu sudah mendaftar persekolah Maryam tahun hadapan di sekolah lain, bukan lagi Genius Aulad.. Secara kebetulan, pihak pengurusan Genius Aulad juga menghubungi ibu pagi tadi, untuk kepastian samada Maryam akan meneruskan persekolahan di GA atau tidak. Dan ibu jawab; tidak.

Jangan salah faham, ibu tidak hantar Maryam ke Genius Aulad pada tahun hadapan bukan kerana GA tidak bagus. GA sangat-sangat bagus. Guru-gurunya sangat-sangat baik. Guru-gurunya lembut-lembut belaka. Maryam menunjukkan perkembangan yang sangat baik sepanjang berada di GA. Terima kasih yang tak terhingga buat semua pendidik GA.

Cuma ibu sedikit terkilan, tiada apa-apa kenangan bersama GA dihujung tahun kerana murid 4 tahun tidak dilibatkan dalam program Little Ihtifal.Tapi ini bukanlah sebabnya..

Berbalik cerita asbab, sebab utama adalah masalah pengangkutan. Dari sekecil-kecil isu hinggalah isu yang besar iaitu masalah keselamatan. Air mata ibu juga pernah tumpah hanya kerana kenderaan. Paling sadis, ibu pernah tanpa sengaja meninggikan suara pada pemandu van GA kerana suatu isu. Tak perlulah ibu cerita dengan lebih lanjut di sini, biarlah hanya memori merakam cerita ibu. (Kebetulan juga, baru terbaca catatan seorang ibu yang menerima surat peguam kerana bercerita secara telus tentang tadika anaknya di blog - (bukan Genius Aulad)).


 Sebab musabab yang lain ada ibu nyatakan di SINI.

Maryam Nabihah.. anak yang buat ibu bahagia dengan kecerdasannya. Namun, ada sesuatu padanya yang buat ibu berduka. Semoga, 'penghijrahan' ini merupakan satu 'penghijrahan' yang positif baginya.. Sama seperti bahagia yang ibu rasa semasa 'penghijrahan' Muhammad Yusuf Nabhan suatu ketika dahulu..

Ibu sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak-anak ibu. Semoga anak-anak ibu berjaya di dunia dan akhirat. Amin..


Pra Pelancaran: Jelajah Jemari Asmara GiveAway.. :D


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Alhamdulillah... setelah berkali-kali berura-ura mahu melancarkan GiveAway, akhirnya bakal terlaksana jua. Tapi ini belum rasmi lagi ye kawan.., nama pun pra pelancaran. Ececeh, ke main lain ibu Yusuf dan Maryam ni buat GA kan? Siap ada pra pelancaran lagi.. hihi..

GA kali ini ibu adakan sempena ulang tahun Jemari Asmara yang pertama dan ulang tahun anakanda Muhammad Yusuf Nabhan yang akan tiba tak lama lagi.

Entry ini.. tayang banner GA dulu. Entry akan datang baru lancar betul-betul.. InsyaAllah tak susah mana, lebih kurang macam GA sebelum-sebelum ni juga. Cuma kalini ada sedikit penambahan.. InsyaAllah, sesuai dengan hadiah yang di tawarkan.

Alang-alang sebut tentang hadiah, ibu umumkan terus hadiahnya di sini:

Hadiah Utama x 1 ;

Batik Sutera Rayon Terengganu (4 meter), seutas gelang kristal dan sepasang kerongsang bernilai RM150.00

Hadiah Pertama x 1 ;

Batik Sutera Rayon Terengganu (4 meter), seutas gelang kristal dan sepasang kerongsang bernilai RM150.00

Hadiah Saguhati x 5 ;

Sebiji fridge magnet Terengganu atau sepasang keronsang setiap seorang


Menarik tak? Harap-harap ada yang sudi turut serta.. Tapi, tungguuuuuuuuuu..

Jumpa lagi, salam sayang buat semua.. :D


Sunday, November 20, 2011

Kek Lapis Chese Persona.. Lagi..


Assalamualaikum wbt..

Buat kali keempat, ibu ingin mempersembahkan..

v

v

v


Kek Lapis Cheese Persona..

Kali pertama buat tak jadi, namun berjaya 'bertukar' menjadi Keju Berkrim Tautan Kasih. Meneruska perjuangan kali kedua, pun masih tak menjadi hingga terhasil entry Post Moterm: Kek Tak Menjadi. Kali ketiga, terbeli biskut dah luput tarikh.. Namun perjuangan diteruskan hingga terhasil Kek Lapis Cheese Persona yang menjadi.

Kali keempat ini, terhasil atas keinginan mencuba sampai jadi dengan menggunakan Biskut Tiger macam kak Azlita Masam Manis buat..


Walaupun comot.. tapi boleh laaaaaaa..

Kali pertama buat guna biskut tiger, ibu celup dalam susu suam.. hasilnya; lebur. Kali kedua buat guna biskut tiger, ibu celup dalam susu sejuk.. hasilnya; lembik. Kali ketiga ni, ibu tak celup langsung.. hasilnya; alhamdulillah seperti dalam gambar.

Nak resepi? Klik SINI..


BE ke 12 @ Jemari Asmara


Assalamualaikum wbt..

Dua hari yang lepas, satu-satunya BE di Jemari Asmara telah menjadi ME.. Alhamdulillah, masih ada rezeki bersambung buat Yusuf dan Maryam, Jemari Asmara mendapat satu lagi BE. BE yang ke 12 sejak mendaftar dengan Nuffnang 11 bulan yang lalu..

Dengar jumlah BE memanglah macam banyak.. tapi dengan prestasi UV jemari Asmara yang rendah.. maka pendapatan bukan beringgit-ringgit. Tapi bersen-sen sahaja.. Hihi, jadilah.. rezeki jangan ditolak.

Adidas Neo.. Ramai kawan-kawan lain dapat BE ni juga. Harap-harap, lama la sikit bertahan ye.. :D



Saturday, November 19, 2011

Muffin Pisang Kukus Bercip Coklat


Entry tunjuk makanan ye..

Semalam tak berapa sempat nak berblog sangat.. Malam tadi kerja hingga ke malam. Pagi tadi pun ibu kena kerja juga. Alhamdulillah, menjelang tengahari dah berada di rumah semula. Bertukar shif dengan ayah yang ada program Ramas Ramah Mesra Bersama Rakyat di Bangi. Tapi bukanlah ayah Yusuf tu wakil rakyat ye.. Hehe.. Ayah Yusuf keje gomen je. Macam ibu Yusuf juga.. :D

Sambil anak-anak tengok tv, ibu on lappy. Termenung sekejap, entr apakah ingin dicoretkan. Malam tadi dah entry hangin pasang. Kah kah kah.. Siang hari ni tak mau hangin-hangin lagi lah..

Pikir punya pikir, idea tetap tak ada. Macam biasa, bila tak ada idea, ibu tepek pic makanan je.. Nak cerita tentang Yusuf naik kelas sebanarnya, tapi nanti-nantilah..



Muffin pisang kukus bercip coklat Jemari Asmara.. sila abaikan rupa parasnya yang kurang gebu. Yang penting tukang buat apam berkulit gebu. Kih kih kih.. Aduh, duh.. perah santan lagi..

Sebenarnya ibu guna resepi Apam Pisang tempoh hari, cuma tambahkan coklat cip dalam adunan. Tapi memandangkan rasa menteganya menyerlah, ia terasa seperti kek. Bila letak cip coklat, lagilah rasa macam kek. Dah ibu buat kecik-kecik, jadilah namanya muffin. Hihi.. suka-suka hati je kan?

Owh.. tiba-tiba ada suara-suara berkata lapar dan nak makan. Maka ibu perlu hentikan tarian jemari. Petang-petang sikit ibu ziarah rumah kawan-kawan ye.. InsyaAllah.

Jumpa lagi.. :D


Friday, November 18, 2011

Dugaan Apakah Ini.. JIwa Terus Kacau..


***************

Sangat-sangat tidak selesa.. Kepala sakit, berserabut, berkecamuk. Jiwa bergelora.. kacau!! Rasa ingin memberontak. Namun harus kuluahkan pada siapa?

Allahu Akbar!

Pulang rumah di malam hari.. Tinggal lah suami.. Tinggallah anak-anak.. Hanya kerana sesuatu yang lagha.. Tidak adakah yang lebih 'murni' untuk dipersembahkan. Hanya jerit lolong, sama agaknya jika boleh diperlihatkan syaitan-syaitan yang berjoget kegembiraan dengan kelalaian anak-anak Adam!! Sungguh ramai berpesta di luar sana.. di surau? Boleh di kira..

Jika itu yang dikatakan 'jalan' untuk membangkitkan mereka yang rebah.. Manakah buktinya! Yang ada hanyalah mereka rebah kerana memilih 'jalan' itu..

Huhh!!

Saat jiwa kacau ini, aku ingin menemui Tuhanku. Namun dugaan lagi..

Air tak ada la pulak.. Nak bersuci pun tak boleh. SYABAS ni pun tak reti-reti nak bagi notis kalau nak buat itu ini.. Grrrr..

Sub kontraktor kampeni tangah korek-korek jalan betulkan entah apatah.. Bagi la notis kalau ye pun..


Ps: Ini adalah entry luahan perasaan. Dari mengamuk tak tentu pasal, baik luah jelah kat blog sendiri. Kawan-kawan tak perlu komen jika rasa tak perlu ye.. Terima kasih.. :D

Pss: Harap-harap air cepat ada, bolehla ibu yang dah masem ni mandi, solat dan zzzzzzzz. Besok kena kerja lagi.. Tinggal lah anak-anak lagi.. :-(



Doa Menghadapi Tekanan/ Stress


Assalamualaikum wbt..

Hari ini ibu sangat stress, stress dan stress.. Stress yang tak boleh di cover. Rasanya satu pejabat nampak Puan Zefa sedang dilanda keseteresan.. Haha.. (tawa dalam duka..)

Ibu kongsikan di sini doa menghadapi tekanan yang ibu copy dari blog Ummu Amar.. Maaf, tak sempat nak backlinkkan. Blog UA tersenarai di bloglist Jemari Asmara.. Silalah ziarah, banyak entry-entry yang bagus-bagus di sana..


Doakan ibu bejaya menendang ke laut stress itu..


Thursday, November 17, 2011

PML: Si Langsing Padi | Menahan Nafsu Bergelora..


Entry tentang PML..

Wahhhh.. Lama sungguh rasanya ibu tak buat n3 khusus untuk PML (pinggan mangkuk lama). Masuk APC (Antique Porcelain Collectors) di FB pun dah jarang-jarang.

Sebenarnya ibu dah berazam. Berazam untuk manahan nafsu.. Sebab tu jarang-jarang dan intai APC, takut nafsu kembali bergelora. Hahaha.. Harap kenyataan ni menjawab soalan-soalan geng APC kenapa Zefa Ibu Maryam lama menyepi diri... :D

Ramai geng APC (termasuk ibu) guna istilah 'puasa' untuk keadaan menahan diri dari membeli PML. Maknanya, lama juga ibu dah puasa sebenarnya. Baru-baruni, ibu menerima bungkusan berisi PML, tapi bukan ibu buka puasa tau. Cuma barang tu baru diterima..

Ibu beli barang ni dari Puteri Nur.. Elok ibu buat bayaran, PN kemalangan. Jadi, itulah yang menjadi sebab kenapa barang lambat di hantar. Kita sebagai pelanggani, kenalah juga faham kedaan penjual. Tak apa, pelan-pelan janji barang kita sampai.

Eh eh.. Panjangnya muqadimah. Mana PMLnya? Adaaaaaa.. Ini dia..

v

v

v

Inilah dia Si Langsing Padi.. Suka-suka bagi nama sendiri. Rakan-rakan APC, apa nama teko ni ye?



Nampak tak bahagian tutupnya? OKU dah sebenarnya.. tiada sudah tombolnya.. :-( Tapi jadilah, dari tak ada langsung..



Kesian dia sorang-sorang. Ibu carikan dia teman untuk berposing. Mix n match sahaja.. :D

Sekadar berkongsi cuci mata, untuk koleksi PML Padi ibu yang lain sila tekan SINI..

Jumpa lagi!!



Jatuh Bangun Jemari Asmara


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Ibu nak tunjuk prestasi UV Jemari Asmara dari 10 hingga 16 November 2011. Mohon jangan gelakkan ibu ya, atas entry tayangan UV nan seciput ini. Ciput-ciput pun, syukur alhamdulillah masih ada yang sudi menyinggah. Terima kasih semua!!


 Bertangga-tangga.. Jujur, pencapaian terbaik UV Jemari Asmara hanya 100++ UV sehari. Dari 10 - 16 November 2011 cuma mampu mencapai 118 UV je sehari.. (jangan gelak, jangan gelak.. nanti ibu merajuk.. hihi..)


Dalam jangkamasa seminggu ada 2 hari dibawah paras 100 UV sehari..

Jom buat post moterm kenapa UV rendah pada dua hari tu..

10 November tu ibu tak ada entry. Ada sebenarnya tapi dah malam dan dipenghujung hari.. Kira macam tak ada la, sebab orang baca entry tu keesokan harinya. Lagi satu hari tu ibu tak ziarah blog kawan-kawan pun sebab agak sebok, cuma ada juga la drop komen di 1-2 blog..

13 November tu pula jatuh pada hari Ahad. Mengikut pengalaman ibu, UV memang selalu jatuh pada hujung minggu. Sebab hujung minggulah kita nak beraktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan. Jadi, keperluan untuk online dah jatuh pada tangga ke bawah. Keluarga lebih penting!!

Lagi satu, blog ibu ni adalah blog peribadi sahaja. Lebih kepada catatan kebahagiaan hidup ibu. Tempat ibu nak meluah rasa.. Jadi tak adalah entry yang menarik sangat hingga sangkut pada carian google.. Tak kisahlah UV tak tinggi pun.

Walaupun begitu.. Ibu seronok tengok UV blog rakan-rakan lain yang tinggi-tinggi belaka. Walaupun UV blog ibu tak tinggi, tadi tak salahkan, kalau ibu pun syer di sini?

Ps: Tak lama lagi Jemari Asmara akan berumur setahun. Berapa umur blog kawan-kawan?



Apam Pisang Comel

Assalamualaikum wbt..

Malam tadi entry makanan, pagini entry makanan lagi ye.. Alkisah, jiran sebelah bagi pisang, tapi dah beberapa hari tak terusik. Akhirnya, gigih tau malam tadi ibu lenyek pisang pakai mug sampai bunyi kelentang kelentung. Kihkih.. Semata-mata nak buat apam pisang.. Tidur nak dekat pukul satu tau.. Gigih3x.. :D

Hasilnya..

v

v

v

Apam Pisang Comel Jemari Asmara.. bagi nama comel tu bukan sebab apam tu cantik tau (nanti kata ibu perasan pulak.. hihi..) Comel sebab ibu buat dia kecik-kecik.. Comel je kan? (nampak besar la pulak dalam gambar sebab ambik dekat-dekat.. huhu..)


Ibu kukus guna acuan lompang. Acuan lompang ni pemberian MIL ibu, warisan dari Tok katanya.. Setelah sekian lama akhirnya menantu dia guna juga. Tak sia-sialah dia pilih menantu yang ini untuk mewarisinya kan? Kan? Kan?

Owh ya.. Buat mereka yang belum tahu; motif pada acuan lompang, pinggan dan cawan dalam gambar di atas kita panggil PEONIS. Salah satu motif PML (pinggan mangkuk lama). Tak apa jika anda tak minat, tapi apa salahnya kita ambil tahu. Kan? Kan?

Ibu kongsikan di sini resepi asam pisang yang ibu ambil dari blog Dapur Tanpa Sempadan. Tapi yang ibu kongsikan di sini mengikut sukatan dan bahan yang ibu guna lah..

Resepi Apam Pisang

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
5 biji pisang (200 gram)

3/4 cawan gula halus
4 biji telur
3/4 cawan mentega cair (ibu guna 2/4 mentega dan 1/4 minyak masak)
1 camca teh baking powder
1/2 camca teh soda bicarbonate
2 cubit garam
Cara-caranya:

  1. Panaskan air dalam kukusan, balut tutup kukus dengan kitchen towel bersih, lenser acuan dengan sedikit mentega atau minyak. Ketepikan (ibu guna acuan kuih lompang)
  2. Gaul tepung bersama baking powder, kemudian ayak. Lecek pisang bersama garam dan soda bicarbonate hingga hancur. Ketepikan.
  3. Dalam satu bekas, satukan telur, gula dan mentega cair. Kacau dengan whisk hingga pekat dan berkrim (berubah jadi warna pucat). Masukkan pisang lecek, gaul rata dan masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil digaul hingga sebati.
  4. Kacau rata dan tuang dalam bekas tadi. Kukus selama 10 minit. Kalau guna loyang, CMG kata kukus 45 minit. Gunakan api sederhana besar.
Nota ibu:

1. Tekstur apam ni sedikit padat (tapi bukan bantat tau!! hihi..) mungkin sebab ibu tak pukul telur tu hingga kembang dulu.. (agaknya lahye..) Ibu ni mixer tak ada, whisk pun tak ada sebenarnya. Godek je pakai apa yang ada..

2. Rasa apam ni ala-ala kek pisang yang moist gitu.. mungkin sebab faktor mentega

3. Apamni ibu bawa ke pejabat bagi anak-anak buah makan.. tinggalkan 4 ketul untuk ayah di bawah tudung saji. Yusuf dan Maryam tak layan apam-apam ni.. Memilih tul.. :-(

Ps: Ada lagi pisang kat dapur. Nak buat apa lagi ye? Ada cadangan tak?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...