Follower

Sunday, August 7, 2011

Catatan 4-6 Ramadhan 1432H

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, hari ini kita masih diberi peluang oleh Allah swt untuk meneruskan ibadah berpuasa di hari 7 Ramadhan 1432H. Catatan Ramadahan ibu semakin tertinggal nampaknya, catatan terakhir hanya pada 3 Ramadhan 1432H. InsyaAllah, sahabat-sahabat yang setia mengunjungi Jemari Asmara sudah boleh mengagak apa sebabnya. Terima kasih yang tak terhingga buat teman-teman yang sentiasa mendoakan ibu dan memberikan kata-kata perangsang agar ibu lebih kuat!!


4 Ramadhan 1432H: Air Tangan Ibu.. (akhirnya!!)


Terawih: Alhamdulillah, kami sekeluarga semua ke masjid. Bergambar kenangan di hadapan Baiti Jannati sebelum ke masjid menunaikan terawih malam ke 4 Ramadhan 1432H..

Sahur: Buat kali pertama ayah gagal kejutkan anakanda soleh Yusuf Nabhan dan buat kali pertama ibu main peranan ayah. Alhamdulillah, dengan sekali dakapan ibu, Yusuf Nabhan bangkit.. (kuat juga aura ibu ye.. hehe..)

Cabaran berpuasa: Alhamdulillah, ibu mampu berkerja dan alhamdulillah, di sebelah petang tiada drama air mata dari Yusuf. Tahniah sayang!!

Berbuka: Kami berbuka hanya bertiga, Maryam Nabihah sudah tertidur dari jam 7.00 lagi.. Akhirnya, hari ini kami berbuka dengan air tangan ibu. Tapi tak ada picasnya. Ibu masak ikan selar ala stim versi rebus, sayur kobis + ikan bilis goreng, telur dadar mayonis dan budu.. :-) 

Syukur al hamdulillah!


5 Ramadhan 1432H @ Hospital | Terima Teguran Dari Suami


Terawih: Hanya ayah dan Yusuf ke masjid. Maryam sudah tertidur awal..

Sahur: Nyaris terbabas.. kami terjaga hampir imsak, sedangkan ibu belum masak lagi. Ibu dan ayah bergotong royong dengan tangkas menyediakan makanan untuk Yusuf. Ayah goreng telur, ibu buat susu coklat untuknya. Alhamdulillah, Yusuf sempat bersahur. Kami suami isteri hanya makan beberapa biji kurma dan meneguk air.. :-)

Cabaran berpuasa: Harini ayah bawa ibu ke Pusat perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas permintaan ibu sendiri. Ibu bangun dangan keadaan yang lemah lagi dan kerisauan di dalam diri ibu semakin menebal.. batuk dan tak sihat dalam sebulan bukan satu perkara yang boleh di anggap remeh. Lagi-lagi memikirkan, ramai klien ibu adalah pesakit Tibi. Alhamdulillah, setelah buat pemeriksaan paru-paru dan xray.. Dr sahkan tiada kaitan dengan Tibi. Ibu dapat MC..

Harini ibu terima teguran dari ayah tentang kegagalan ibu mengawal emosi. Terima kasih suamiku!!

Berbuka: Harini, kami berbuka dengan airtangan ibu lagi. Tapi yang ringkas-ringkas sahaja..


Syukur al hamdulillah!!


6 Ramadhan 1432H: Tidur, Tidur & Tidur..


Ibu tewas lagi.. 'Dadah' yang Dr beri membuat ibu tak mampu mengangkat kelopak mata.. Tidur menguasai sebahagian besar hidup ibu pada 6 Ramadhan 1432H. Mudah-mudahan, tidur ibu juga diterima sebagai satu ibadat..


***********************************

Jumpa lagi, salam sayang buat semua.. :-)

Thursday, August 4, 2011

Catatan 3 Ramadhan 1432H

Assalamualaikum wbt..

Diari Ramadhan Ibu Yusuf dan Maryam lagi.. Catatan 3 Ramadhan 1432H.. Terima kasih pada sahabat yang sudi singgah membaca, tapi jangan boring ye.. asyik cerita tentang tak sihat aje.. :-(


Semangat Terawih Yang Membara

Alhamdulillah, selepas tewas malam semalam.. malam ini ibu bangit dengan semangat yang membara. Si kecil Maryam Nabihah sudah pasti akan turut serta. Malam ini ibu bekalkan 2 botol air, sebuah buku mewarna dan sekotak pensil warna.

Anakanda Yusuf seperti biasa pasti 'membontoti' ayah ke masjid. Hikmah berumah di tepi masjid, alunan bacaan Yusuf di dalam solatnya seperti alunan imam di masjid.. walaupun dia solat bersendirian.. (err, memanglah sebab bila solat dengan ayah, ayah yang baca kuat.. :-)

ibu curi-curi intai ke bahagian lelaki.. Hmm, ada kalanya anak bertuah ibu itu duduk bersantai di serambi masjid. Berapa rakaat sajalah dia sertai solat sunat terawih agaknya. Apapun, ibu tetap bersyukur, anak ibu menunjukkan ciri-ciri cintakan masjid. Dan belum lagi sampai ke telinga ibu suaranya menyertai kanak-kanak yang cukup 'meriah' di masjid itu..

Seperti biasa kami menamatkan sunat terawih kami pada rakaat yang ke 8. Keinginan untuk lebih tetap ada, namun ada faktor-faktor lain yang perlu diambil kira. Kerja sekolah harus dibereskan, matapelajaran harus diulangkaji dan ibu sendiri ada tugasan-tugasan rumah yang perlu diselesaikan..


Permata hati ayah ibu sebelum ke masjid bertarawikh malam ke 3 Ramadhan 1432H


Cuti Rehat.. (lagi)..

Ramadhan ke 3, ibu cuti rehat lagi. Bangun dari tidur (yang tak lena pun), tubuh terasa sangat letih dan penat dek goncangan batuk dasyat yang menarik seluruh otot dan sendi. Ibu gagahkan juga bangun siapkan hidangan bersahur dan gosok baju sekolah anak-anak. Selesai semua, ibu 'fengsan' semula..

Jam 10.00 ibu gagahkan diri hantar Maryam Nabihah ke Taska.. biarlah dia bersiap untuk ke sekolah di taska. Bukan apa, takut timbul rasa tak nak sekolah kalau duduk di rumah dengan ibu..


Semangat Puasa Abang Yusuf

Anakanda soleh ibu bangun sahur tanpa masalah. Tapi seperti biasa perlu dengar dahulu panggilan si ayah berkali-kali untuk membangunkan anak terunanya.

Sebelah petang ada lagi drama air mata. Isu yang sama, tak tahan dahaga. Ayah pujuk si anak bertuah dengan ajak main game bola. :D


Ibu 'Bertukar' @ Buka Puasa

Kesal!! Namun terlajak perahu boleh diundur, terlajak tangan.. memang kenalah. Ibu tak malu mengaku, satu kelemahan ibu adalah mengawal emosi.. bila fizikal sakit, emosi turut sakit. Semalam ada sedikit acara 'aneka ragam' dari anak bertuah prempuan ibu.. apapun ibu tetap bersabar. Hinggalah tertumpahnya secawan air di atas meja makan. Haaa.. kan dah kena babab! Maafkan ibu sayang.. :-(

Apapun, syukur atas ujian sakit ini. Ibu rasa 'big momma' dah susut sedikit.. :D

Sekian catatan ibu.



******************

Ps: Ramadhan kalini, ibu belum berkesempatan nak masak sendiri untuk juadah berbuka. Kawan-kawan sempat tak?

Catatan 2 Ramadhan 1432H

Assalamualaikum wbt..

Satu lagi n3 tertunggak dari Jemari Asmara.. catatan kenangan 2 Ramadhan 1432H..

Penangan Laksa Tisu

Maaf kawan-kawan, ini sekadar satu perasaan buruk sangka dari ibu, seorang insan biasa. Perasaan gembira berbuka puasa di hari pertama sebenarnya diiringi perasaan gusar. Ayah beli sebungkus laksa yang sangat-sangat pekat kuahnya, namun bila lalu ditekak ibu, ibu rasa lain macam hingga terdetik di dalam hati 'ni ikan ke tisu? huhuhu..'

Sudahnya, usai berbuka puasa terkeluar semula juadah berbuka yang ibu jamah.. Subhanallah, sudah lama tidak muntah-muntah dengan begitu dasyat.. terus ibu 'lembik'. Err, ibu tak mengandung tau! hehe..

Tewas Terawih Malam Kedua

Sedih yang tak ingin ibu huraikan panjang lebar di sini.. Kehendak yang begitu meronta, namun fizikal tak mampu melaksanakannya.. tewas ibu maka tewaslah Maryam Nabihah.. yang tidak dapat memijak masjid pada malam ke 2..
Sahur Hari Ke 2

Alhamdulillah, anakanda soleh Yusuf Nabhan terus bersemangat bangun sahur. Cuma masa yang ayah ambil utuk membangkitkannya dari katil, lebih lama dari masa yang diambil pada hari sahur pertama.. :-)

Cabaran Berkerja di Ramadhan Ke2

Mencabarke? Bukannya kita membina bangunan atau bertani di tengah panas, cuma bila bersama 'nikmat' pemberian Ilahi, puasa ini mencabar kekuatan fizikal dan mental.. Allah Maha Adil, memberi sama rata 'cabaran bepuasa' kepada hamba-hambaNya. Ibu terima dengan redha..

Ibu sedikit tewas sebenarnya.. hingga sedikit 'naik angin' di mahkamah. Ada 8 kes yang di bawa, dan ada yang 'mengada-ngada'! Haa.. kan dah kena dengan puan Zefa!!

Cabaran Bersekolah di Ramadhan Ke2

Harini Yusuf Nabhan sekolah seperti biasa.. Pagi sekolah Kebangsaan, Petang sekolah Agama. Balik sekolah petang sedikit drama linangan air mata. Tak tahan dahaga.. Ahamdulillah, ayah berjaya memujuknya supaya bersabar hingga waktu berbuka puasa.

Maryam Nabihah? Hehe. harini 'tewas' sepenuhnya.. Hari pertama tiada orang makan di rumah, jadi adik berjaya tidak makan sepanjang hari. Bila di Taska, susahlah sikit.. lagi-lagi dia perlu bersekolah disebelah petang. Tak apalah adik, nanti cuti kita berlatih puasa lagi ya!

Berbuka Puasa

Alhamdulillah, kegembiraan setelah sehari berjuang!! Kami berbuka dengan juadah beli lagi.. :D


**************

Ps: Terima kasih singgah membaca coretan Jemari Asmara.. :D

Wednesday, August 3, 2011

Catatan 1 Ramadhan 1432H..

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, hari ini telah 3 hari kita berpuasa.. Namun Jemari Asmara baru berkesempatan menari lagi, mengimbas 1 Ramadhan.. Sekadar melorek satu catatan memori buat tatapan diri sendiri dikemudian hari.. :D

Ahlan Ya Ramadhan

Alhamdulillah, Allah swt masih memberi nikmat Ramadhan pada kita semua. Tatkala azan maghrib 31 Julai 2011 berkumandang, maka 1 Ramadhan 1432H menyapa kita..

Sekadar imbasan kenangan, Ramadhan 1425H ibu membawa Muhammad Yusuf Nabhan di dalam rahim.. Ramadhan 1428H ibu di dalam pantang selepas kelahiran Maryam Nabihah..


Terawih Pertama 1432H

Alhamdulillah, kita sekeluarga berpeluang bersama-sama menunaikan solat sunat terawih.. satu kelebihan yang terlalu rugi untuk dilepaskan, lebih-lebih lagi Baiti Jannati kita hanya beberapa langkah dari masjid.

Yusuf ibu tahu tiada masalah, abang sudah besar. 3 bulan lagi Yusuf akan berusia 7 tahun. Untuk Maryam Nabihah, ada bekalan perlu ibu sediakan. Hmm.. sebagai persediaan jika ada acara 'aneka ragam'. Ibu bawakan bekalan minuman, 2 helai kertas dan beberapa batang pensil warna.

Sudah dijangka, adik hanya bersama-sama ibu menunaikan solat Isyak sahaja. Usai solat Isyak, telekung sudah ditanggalkan. Panas katanya, silap ibu juga lewat ke masjid. Kami hanya dapat sembahyang dikoridor masjid dan tiada kipas. Jemaah wanita terlalu ramai sehingga melimpah di hadapan tandas. Alhamdulillah, tiada masalah hingga ibu selesaikan solat. Sepanjang ibu menunaikan solat, adik leka dengan aktiviti melukis dan mewarna.


Bergambar kenangan sebelum ke masjid.. :D

Bersahur Kali Pertama

Alhamdulillah, tiada masalah mengejutkan anakanda soleh ibu. Yusuf bangun selepas 3 - 4 kali ayah memanggilnya. Mungkin sedikit perlahan untuk dia bangkit dari katilnya, tapi bagi ibu itu perkara biasa bagi seorang kanak-kanak seusianya.

Maryam? Oh, kami sengaja tidak mengejutkannya. Seperti biasa dia akan bangun sendiri dalam lingkungan jam 5.00 pagi mencari ibu. Maryam Nabihah hanya bersahur dengan sebotol susu.

Cabaran Puasa Hari Pertama

Syukur tiada masalah bagi Yusuf berpuasa sehingga waktu berbuka puasa. Cuti yang diberi oleh kedua-dua sekolahnya adalah satu kelebihan. Dia hanya bermain di dalam rumah dan kuranglah tenaga yang digunakan.

Maryam? Hehe.. ini budak kecil sudah menangis seawal jam 11.30 pagi. Tidak tahan dahaga.. akhirnya berbuka sebelum jam 12.00 lagi. Apapun, satu permulaan yang baik bagi kanak-kanak berusia 4 tahun ini, sehingga petang tidak makan langsung. Hanya 3 kali minum air.. :D


Semangat dan 'Nikmat'

Ramadhan kali ini ibu lebih bersemangat.. walaupun bersama 'nikmat' yang Allah beri. Mudah-mudahan ibu tabah dan kuat.. Juga anak-anak yang bersemangat untuk berpuasa dan berterawih!!

Berbuka Puasa 1 Ramadhan 1432H..

Semuanya diuruskan ayah. Ibu tiada daya, 'nikmat' itu tidak mengizinkan ibu masak-masak di dapur. Dan ayah membuat pilihan membeli sahaja..

Rasa bahagia menyelubungi seluruh 'Baiti Jannati'.. anak-anak girang, ibu dan ayah rasa bahagia.. Semangat anak-anak menempuh 1 Ramadhan buat ibu bangga..

Mudah-mudahan keluarga ini dilimpahi kasih sayang yang mewangi, sewangi taman firdausi, & dilimpahi rahmat kurniaan Ilahi.. Amin ya rabbal a'lamin..


*************

Ps: Sekejap lagi masuk waktu maghrib, selamat berbuka puasa ya sahabat-sahabat.. :D



Tuesday, August 2, 2011

Catatan Suka Duka Jemari Asmara: 26-31 Julai 2011

Assalamualaikum wbt..

Sekadar satu catatan peribadi, setelah beberapa hari jemari ini tidak menari.. Jemari Asmara terbiar sepi..

26 Julai 2011 (Nikmat sakit)

Allah beri ibu 'nikmat' sakit.. Ibu ke klinik, dapat MC..  ada kisahnya di SINI..


Hmm.. maafla. Ibu tengok macam dah 'tak cun' je mesin ni. Tapi dah tak larat nak komplen-komplen, sedut aje lah.. huhu..

 
27 Julai 2011 (Yusuf sakit kaki)

Allah beri pula anakanda Yusuf Nabhan 'nikmat' sakit juga, sakit kaki. Balik dari sekolah agama petangtu, Yusuf dah tak boleh jalan. Mungkin salah urat, sebab dia mengadu sakit di bahagian peha. Sedih sangat tengok dia malam tu..


Muhammad Yusuf Nabhan, anak soleh ibu.. gambar diambil sehari sebelum dia sakit kaki..


28 Julai 2011 (Yusuf Berjaya, Ibu Tewas!!)

Pagi: Ibu bekerja seperti biasa. Yusuf terpaksa cuti sekolah kebangsaan sebab keadaan kakinya yang masih sakit..

Petang: Alhamdulillah, kaki Yusuf semakin baik walaupun masih susah nak jalan. Yusuf dengan semangat yang ada berjaya ke sekolah agama petang tu.. Ibu pula tewas di pejabat, ibu minta izin dari pegawai atasan balik awal. Sampai rumah, ibu terus tidur.. Sakit kepala yang amat sangat dan susah nak bernafas. Batuk dasyat masih terus bergema di Baiti Jannati. Alhamdulilah, keadaan lebih baik selepas bangun dari tidur.

29 Julai 2011 (Berlaga Dada Bergesel Punggung)

Hari ini ibu cuti rehat.. Mula-mula rasa nak rehat-rehat sahaja di rumah, melayan kepala yang masih sakit. Rupa-rupanya ayah cuti juga.. Kami ambil keputusan nak ke SOGO beli baju anak-anak, dengan harapan Ramadhan nanti tidaklah kami perlu keluar membeli belah.

Tiba di SOGO, Subhanallah!! Seramai-ramai umat manusia.. Ramai yang tersangat ramai.. hinggakan terpaksa berlaga dada dan bergesel punggung dengan orang lain. Akhirnya ayah tanpa banyak kata, "Jom balik!!"
Sampai rumah, ibu 'pengsan' lagi. Mungkin sebab sejuk, kami bermotosikal dalam keadaan hujan renyai-renyai..

30 Julai 2011 (Ayah Bawa Kami Ke Melaka!! Yeay!!)
Ayah nyatakan hasrat nak bawa anak-anak bercuti.. Mula-mula ayah kata nak ke Lumut, tapi akhirnya kami ke Melaka. Ikut hati, ibu berat rasa nak pergi. Bukan apa, bila tidak sihat, emosi juga tidak stabil. Takut ibu pula yang spoilkan percutian tu nanti.

Memandangkan ini percutian yang tidak dirancang, tak ada tempah mana-mana hotel pun. Ayah terus terjah Puteri Resort, alhamdulillah ada bilik yang kosong.

Anak-anak dan ayah sakan mandi kolam. Ibu sekadar memerhati, kepala terasa berdenyut-denyut. Demi anak-anak, ibu gagahkan jua..


Lucu.. budak seluar hijau tu asyik follow ayah je.. tak tahu anak siapa.. beberapa kali dia cuba panjat belakang ayah.. bila ayah tanya mana ibu ayah kamu? Dia jawab, "Kat bilik".. Hmmm, baru 7 tahun, berani ibu ayah dia lepaskan begitu sahaja..

Petang selepas mandi kami ke Jusco. Sempat ibu shooping beberapa helai baju anak-anak. Tugas ayah, layan anak-anak.. :D

Malam kami ke Zoo Malam. Anak-anak seronok sangat sepanjang hari.. Ibu pun seronok sangat.

Kenangan di Zoo Malam..

Lepas ke zoo, kami cari makan. Hmm.. masa ni ada peristiwa yang tak seronok. Selepas sejam kami menanti, makanan yang dipesan tak sampai-sampai. Sampai Maryam dah tertidur dipangkuan ibu. Akhirnya, kami angkat kaki. Syukur, sebelum tu Yusuf dan makan burger, Maryam dah makan kentang goreng.

Balik hotel hantar ibu dan anak-anak, ayah keluar semula. Ayah balik semula dengan bungkusan makanan untuk kami berdua. Anak-anak dah tidur lena kepenatan..

Ayah hulur bungkusan hadiah.. ibu sambut sambil tersengeh. Ibu ingat percutianni dah kira hadiah, rupanya ada hadiah lain.. Terima kasih abang!

31 Julai 2011 (Hari Lahir Ibu Yang Ke 33 Tahun!!)

Harini birthday ibu.. kami masih di Melaka. Harini mood ibu tak berapa nak baik. Tak perlulah nak cerita yang tak happy kan.. Apapun, terima kasih buat suami tercinta yang begitu sabar dengan karenah isterinya.. I luv u abang!

Pendek cerita, kami sampai di Shah Alam pada jam 3.00 ++.. Alhamdulillah, sempat kemas-kemas apa yang patut. Berehat-rehat menantikan tibanya Ramadahan 1432H.

*****************

Ps: Tiba-tiba Jemari Asmara letih menari.. sekian dulu buat tatapan diri sendiri dikemudian hari sebagai satu catatan memori.. juga buat teman-teman yang sudi membaca.. Salam sayang buat semua!!


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...