Follower

Friday, January 7, 2011

Kes Teoh: K'jaan Tubuh S'jaya Siasatan DiRaja

****************************
 

Kerajaan akan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat sama ada wujud pencabulan hak asasi dalam proses soal siasat mendiang Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Suruhanjaya yang akan diwujudkan dengan terma-terma khusus itu, akan "meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.
Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Najib berkata, panel suruhanjaya berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet pada Rabu depan.

Beliau berharap, siasatan oleh suruhanjaya itu akan dapat menyelesaikan kes tersebut.

Suruhanjaya berkenaan akan diwujudkan dalam tempoh tiga bulan selepas Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan tauliah pelantikan pesuruhjaya.

Najib juga berkata, suruhanjaya itu akan ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Peruntukan itu memberi kuasa kepada suruhanjaya berkenaan untuk menyiasat SPRM dan "kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia."

"Tempoh suruhanjaya itu juga boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertimana dibenarkan di bawah Seksyen 5 Akta 119," katanya lagi.

Katanya, Peguam Negara juga akan memfailkan di Mahkamah Tinggi permohonan semakan keputusan inkues terhadap kematian Teoh.
Menurut perdana menteri lagi, beliau juga sedia menemui keluarga Teoh tetapi tidak pasti bila.

Pada Rabu lalu, mahkamah koroner membuat penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh - iaitu beliau bukan bunuh diri mahupun dibunuh.

Pelbagai pihak kesal kerana setelah lebih setahun berlalu, punca kematian pegawai politik kepada seorang exco Selangor itu masih menjadi misteri.

Teoh, 30, dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima koridor Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoalsiasat oleh SPRM Selangor yang pejabatnya terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

-Malaysia Kini-








No comments:

Post a Comment

Komen anda amatlah dihargai.. :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...